Apa itu jejak digital (digital footprint)?

Apabila kita berjalan di atas pasir di pantai, kita akan meninggalkan kesan tapak kaki bagi setiap langkah yang diambil. Kesan ini juga boleh dilihat dan dikesan oleh orang lain.

Begitu jugalah konsep jejak digital.

Jejak digital adalah maklumat tentang diri kita yang wujud dalam Internet. Ia adalah hasil daripada aktiviti kita di alam maya. Jejak digital juga timbul apabila kita menggunakan peranti digital seperti telefon pintar dan tablet.

 

Di manakah terdapat jejak digital seseorang?

Kerancakan penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram menjadikannya antara sumber utama yang biasanya menempatkan jejak digital seseorang. Jejak digital juga dapat dikesan menerusi laman web yang dilayari, maklumat peribadi yang diberi dalam talian Internet, e-mel yang dihantar dan banyak lagi! Oleh sebab itulah kita tidak sewajarnya berkongsi maklumat peribadi sewenang-wenangnya. Kita juga hendaklah mengurus tetapan privasi akaun kita dengan baik. Jika tidak, kita berisiko menjadi mangsa penghendap siber dan kecurian identiti. 

 

Apakah kesan daripada kewujudan jejak digital kita?

Jejak digital boleh membawa kebaikan atau keburukan. Jika kita menggunakan Internet dengan baik, kita dapat melibatkan diri dengan perkara yang bagus dan bermanfaat. Namun, jika kita menyalahgunakan Internet, ia boleh membahayakan keselamatan diri dan memberi kesan buruk kepada reputasi kita.

Kesimpulannya, kita hendaklah lebih berhati-hati apabila berinteraksi dalam talian Internet dan menggunakan peranti digital.

 

Jom cuba!

Cuba buat carian nama anda menggunakan enjin carian seperti Google. Jika terdapat maklumat peribadi yang tidak sepatutnya dikongsi kepada umum yang dapat dikesan menerusi hasil carian tersebut, anda perlu mengubah tetapan akaun anda. Dapatkan bantuan oleh ibu bapa atau orang dewasa yang anda kenali.

 

 

 

 

Rujukan:

 

https://study.com/academy/lesson/what-is-a-digital-footprint-lesson-for-kids.html

https://www.teachthought.com/the-future-of-learning/11-tips-for-students-tomanage-their-digital-footprints/

https://coolmomtech.com/2018/08/kids-and-digital-footprints-online-safety/